Empat penjenayah rompak, ugutan jenayah dan khianat ditahan

Empat penjenayah rompak, ugutan jenayah dan khianat ditahan

Tawau: Sekumpulan empat penjenayah ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam enam kes rompakan berkumpulan, ugutan jenayah dan khianat yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 17 hingga 29 November lalu.

Tiga wanita yang dikenalpasti menjadi pembeli kepada hasil rompakan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Polis berjaya merampas sebuah komputer riba dipercayai hasil rompakan yang dijalankan kumpulan suspek berkenaan. Pix Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima laporan daripada enam individu membabitkan enam kejadian kes jenayah.

Katanya, kes dilaporkan membabitkan empat rompakan berkumpulan menggunakan senjata, satu kes rompakan berkumpulan tanpa senjata serta satu laporan ugutan jenayah dan khianat.

Antara barangan yang dirampas. Pix Ihsan PDRM

“Semua kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Batu 3, Jalan Apas, Batu 4 Jalan Apas, Batu 5 Jalan Apas, Taman Desa Ranggu, Jalan Sin On dan Jalan Kinabutan.

“Hasil siasatan dijalankan, pasukan polis melancarkan ‘Operasi Rentap’ dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai salah seorang suspek kes pada 18 November lalu.

“Hasil soal siasat, suspek mendedahkan tiga lagi rakan jenayah yang masih bebas dan terlibat dalam keenam-enam kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 39 tahun kemudiannya berjaya ditahan 2 Disember lalu di Kampung Sri Aman, di Batu 3 Jalan Apas, di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan polis turut berjaya merampas pelbagai senjata seperti parang dan pisua serta beberapa barangan berharga hasil rompakan kumpulan berkenaan.

“Antara yang berjaya dirampas adalah telefon pintar, jam tangan, beg sandang wanita, gelang tangan, komputer riba dan beberapa lagi barangan berharga.

“Dengan dipandu arah oleh semua suspek, tiga wanita berjaya ditahan di sekitar daerah ini selepas dipercayai menjadi pembeli kepada barangan hasil rompakan kumpulan berkenaan,” katanya.

Peter berkata, semua suspek kini ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|