Panggil negeri atau wilayah, DUN yang tentukan – pakar politik

Panggil negeri atau wilayah, DUN yang tentukan – pakar politik

Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak perlu bersidang bagi membincangkan panggilan baharu kedua-dua negeri selepas Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan yang mengembalikan kedudukan negeri terbabit seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Pensyarah kanan politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Zaini Othman, berkata sama ada Sabah dan Sarawak kekal dipanggil negeri atau diubah kepada wilayah perlu dirujuk di DUN kedua-dua negeri.

Pensyarah kanan politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Zaini Othman

“Hal ini perlu dirujuk kepada DUN Sabah dan Sarawak, secara sosiologikalnya selepas pindaan dilakukan apakah akan kekal dipanggil negeri, wilayah atau apa juga istilah yang seumpamanya perlu dirujuk kepada negeri-negeri tersebut.

“Salah satu nilai unggul idealisme negara federal itu adalah setiap entiti yang bersetuju untuk membentuk persekutuan perlulah dirujuk dalam apa juga hal yang terkait dengan kepentingan entiti tersebut,” katanya.

Sebelum ini, ada yang berpendapat Sabah dan Sarawak seharusnya dipanggil sebagai wilayah kerana kedudukannya lebih tinggi berbanding negeri lain di Semenanjung sejajar dengan MA63 yang dibuat di antara kerajaan Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan persekutuan Tanah Melayu pada 1963.

Dalam pada itu, Zaini berkata selepas pindaan perlembagaan itu diluluskan, ia secara tidak langsung mengangkat kembali semangat ‘federalisme’ yang dipersetujui pada 1963, di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Katanya, ia secara tidak langsung juga mengembalikan semangat saling hormat-menghormati di antara entiti-entiti yang membentuk persekutuan itu sendiri.

Sementara itu, beliau berkata sama ada Sabah akan lebih maju selepas pindaan perlembagaan berkenaan diluluskan, perkara itu masih bergantung kepada usaha yang dilaksanakan kerajaan.

“Saya berfikiran sama ada Sabah akan lebih maju atau tidak selepas pindaan ini, itu sangat bergantung kepada pendekatan, tingkah pengurusan dan juga wibawa kepimpinan.

“Cumanya, selepas pindaan berkenaan, wujud lebih ‘disentralisasi’ kuasa di peringkat negeri, sekali gus memberi lebih ruang pembuatan keputusan di peringkat negeri untuk menzahirkan proses pembangunan dengan lebih pantas,” katanya.

RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara berdasarkan MA63 itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen pada Persidangan Dewan Rakyat, semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|