Isu teknikal isyarat telekomunikasi sempadan negara akan diselesaikan

Isu teknikal isyarat telekomunikasi sempadan negara akan diselesaikan

TAWAU: Masalah dan isu teknikal penerimaan isyarat telekomunikasi di sempadan negara jiran akan diatasi dengan perbincangan bersama beberapa pihak dalam waktu terdekat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya ada menerima aduan berkaitan isu berkenaan dan akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengenalpasti sekaligus mengatasi isu berkenaan.

Katanya, bukan sahaja kawasan Pulau Sebatik di Tawau yang berjiran dengan Indonesia malah kawasan Lawas di Sarawak yang berjiran dengan negara Brunei serta Kelantan yang berjiran dengan negara Thailand turut berdepan isu berkenaan.

“Saya ada menerima aduan mengenai signal yang kita terima dari negara jiran dan kita perlu ada sedikit koordinasi serta perbincangan dengan beberapa pihak untuk mengatasi isu teknikal di sini.

“Kita sudah meminta untuk meneliti isu teknikal yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini dan perlukan kerjasama antara dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pengoperasian menara di bawah program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1 yang diurus MCMC di Kampung Mangga di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memuji menara komunikasi di Kampung Mangga berkenaan susulan menjadi contoh piawaian yang ditetapkan MCMC dalam menyiapkan sebanyak 400 menara telekomunikasi di bawah JENDELA Fasa 1 seluruh Sabah sehingga hujung tahun ini.

“Saya sangat gembira melihat kemajuan di tapak ini kerana ia salah satu contoh yang saya minta MCMC sebagai ‘gold standard’ piawaian.

“Menara ini telah siap dan diserahkan kepada penyedia peralatan elektronik atau komunikasi pada 25 April manakala menara ini ‘live on air’ tempoh sehari sahaja daripada waktu ia disiapkan dan diserahkan,” katanya.

Fahmi turut meminta MCMC agar segera mengenalpasti langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan isu isyarat telekomunikasi di laluan protokol antaranya dari Lapangan Terbang Tawau bagi meningkatkan kesalinghubungan di kawasan itu.

“Saya ingin tegaskan kepada pihak MCMC dan pengendali syarikat telekomunikasi (Telco) terutama di laluan protokol mesti ada 4G dan ia perlu segera diselesaikan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|