Saya disekat untuk keluar negara di KKIA – Nazri

Saya disekat untuk keluar negara di KKIA – Nazri

KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Mohd Nazri Abdullah difahamkan telah disekat keluar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini kelmarin.

Berikut adalah kenyataan media beliau;

1. Semalam (17 Mei 2024), saya telah dijadualkan  bertolak ke Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam melalui pengangkutan udara dalam penerbangan Royal Brunei BI 828, jam 10.55 malam dan akan terbang ke destinasi  seterusnya pada Ahad ini 19 hb Mei 2024.

2. Apabila saya tiba di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) saya telah dimaklumkan terdapat sekatan bagi perjalanan ke luar negara yang dilaksanakan dalam bidang kuasa Jabatan Kastam. Apabila diperiksa lanjut dan bertemu dengan pegawai Kastam yang bertugas, saya dimaklumkan bahawa sekatan itu berkaitan dengan sebuah syarikat bernama *Nafas Bajakimia Sdn Bhd*  yang telah berhutang berkaitan percukaian dengan Jabatan Kastam Malaysia.

3. Nafas Bajakimia Sdn Bhd mempunyai Ahli Lembaga Pengarahnya sendiri iaitu Dato’ Hj Zamri Bin Yaakob sebagai Pengerusi, YB Datuk Dr. Abdul Rahman Bin Ismail, Dato’ Dr Abd Rahman Bin Bakri dan Datuk Hj Mohd Rosli Bin Harun. Tiga (3) individu ini adalah Ahli Lembaga Pengarah (ALP) masa ini dan Zalifudin Bin Md Arshad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

4. Nafas Bajakimia Sdn.Bhd adalah sebuah syarikat milik penuh oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

5. Saya tidak terlibat langsung di dalam syarikat tersebut sebagai Ahli Lembaga Pengarah atau memiliki saham (Bukan Pemilik) dan saya hanya sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS.

6. Berikut senarai AJP NAFAS yang lain. -Dato’ Hj Zamri Bin Yaakob – Pengerusi -Datuk Dr Hj Abd Rahman Bakri -Dato’ Aimi Bin Haji Jusoh -Dato’ Hj Sham Bin Mat Sahat -Dato’ Hj Ismail Bin Umar -Datuk Hj Mohd Rosli Bin Harun -Dato’ Hj Ali Bin Shikh Ahmad -Dato’ Indera Hj Mustaffar Kamal Bin Ab Hamid -Dr Ab Razak Bin Kasbollah -Haji Abang Ahmad Kerdee Bin Abang Masagus -Hajah Norhayati Binti Bidin -Mohamad Zamir Bin Ghazali -Wan Kharizal Bin Wan Khazim -Fairuz Bin Bandar -Muhammad Faris Bin Arriffin – Pengurus Besar.

7. Jika sekatan ini tidak semata-mata untuk dikuatkuasakan kepada ALP Nafas Bajakimia Sdn Bhd, syarikat yang berhutang cukai dengan Jabatan Kastam, bermakna kesemua AJP NAFAS juga turut dikenakan sekatan keluar negara.

8. Saya difahamkan bahawa perintah sekatan ini baru sahaja dikeluarkan oleh Jabatan Kastam beberapa hari yang lalu. Juga difahamkan bahawa Nafas Bajakimia Sdn.Bhd berhutang dengan Kerajaan (Jabatan Kastam) kira-kira RM28 juta.

9. Dalam Mesyuarat AJP NAFAS pada 7 Mei 2024 lalu, telah dibangkitkan berkaitan hutang NAFAS kepada pihak Bank, dan telah dipersoalkan adakah jika tertunggak hutang tersebut ianya akan menjejaskan AJP NAFAS, dan jawapan yang diberikan oleh pengurusan NAFAS ialah *”TIDAK”*(ianya tidak menjejaskan AJP NAFAS).

Namun untuk kejadian ini ianya sebagai bukti bahawa jika NAFAS atau mana-mana anak syarikat NAFAS mempunyai kepentingan yang berlaku kecuaian atau kegagalan dalam melangsaikan hutang, maka semua AJP atau ALP nya akan terjejas.

10. Dan sekatan terhadap saya untuk keluar negara yang telah berlaku semalam, adalah sebagai bukti nyata.

11. Untuk rekod saya merupakan seorang ahli pernigaan dan sejak dari usia muda lagi hingga kini sudah berusia lebih 60 tahun, saya sememangnya amat disiplin dan teliti untuk membayar apa sahaja cukai yang dikenakan terhadap saya yang menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai yang berhemah.

12. Kini, disebabkan pihak Nafas Bajakimia Sdn.Bhd atau NAFAS tidak membayar hutang kepada kerajaan, ia telah menjejaskan nama baik dan reputasi saya, keluarga, juga kawan-kawan saya (AJP NAFAS) yang lain.

13.  Kami memegang jawatan sebagai AJP NAFAS, adalah sebagai pemegang amanah yang mewakili ahli-ahli peladang di Malaysia dan memikul jawatan ini secara kehormat (sukarela) tanpa mendapat gaji.

14. Sekatan keluar negara oleh pihak Jabatan Kastam terhadap diri saya,  telah menyebabkan saya menanggung malu, hanya disebabkan oleh hutang pihak lain (Nafas Bajakimia Sdn Bhd).

DATUK MOHD NAZRI ABDULLAH

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|