MoU UiTM, Borneo Eco Star buka peluang perkasa industri akuakultur Sabah

MoU UiTM, Borneo Eco Star buka peluang perkasa industri akuakultur Sabah

Kota Kinabalu: Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Borneo Eco Star (BES) Sdn Bhd untuk membangunkan Pusat Akuakultur Inovatif dan Pintar bakal membuka peluang untuk memperkasakan industri akuakultur di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BES Sdn Bhd, Shim Yen Lin berkata, menerusi kerjasama ini, pihaknya berusaha untuk memperkenalkan amalan akuakultur yang inovatif dan sistematik dalam penternakan akuakultur.

Yen Lin (dua kanan) dan Abdul Kadir (dua kiri) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani untuk kerjasama membangunkan Pusat Akuakultur Inovatif dan Pintar di Sabah.

Katanya, industri akuakultur di negeri ini telah berkembang dengan pesat sejak dulu lagi malah baru-baru ini Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan memaklumkan bahawa hasil ekport ikan segar dari Sabah bernilai RM2.03 bilion iaitu kira-kira 15.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Menerusi pengenalan Pusat Akuakultur Inovatif dan Pintar ini, fokus utama kami adalah untuk mengalihkan amalan pertanian tradisional semasa kepada terkawal sepenuhnya dan sistem bio yang selamat.

“Ini bertujuan untuk mengubah dan menambah baik ladang akuakultur di negeri ini dari segi pengurusannya dengan memberi pengenalan alat pemantau terkini yang mengabungkan ‘Internet of Things’ (IoT) dan ‘big data’,” katanya ketika berucap pada majlis MoU, di sini, hari ini.

Katanya lagi, kerjasama dengan UiTM ini juga sebagai tempat yang komprehensif untuk pelajar universiti terbabit melakukan latihan amali atau latihan industri mereka.

“Kami di BES percaya bahawa bukan sahaja pelajar mempelajari amalan akuakultur yang baik dan moden, mereka akan juga dilatih dalam teknologi digital, pemasaran dan perniagaan pengurusan.

Sementara itu, Rektor UiTM Sabah, Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline berkata, MoU ini adalah langkah pertama UiTM dan diharap akan membuahkan hasil.

“UiTM percaya bahawa untuk ia berkembang dengan ketara, perlunya pihak universiti dan industri memainkan peranan yang penting dalam membangunkan pandangan tentang penyelidikan dan pembangunan terutama dalam subjek yang kita ada pakar di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|