Kota Kinabalu: Seorang pesakit wanita berjaya dipujuk sebelum diselamatkan daripada terjun dari bangunan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa yang berusia 30-an itu dikatakan keluar daripada dari tingkat tiga bangunan berkenaan sebelum memanjat ke bahagian luar tingkap bersebelahan beranda bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, kejadian disedari orang ramai dan kakitangan hospital yang kemudiannya menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati masih berada di luar tingkap bangunan seorang diri.
“Pasukan bomba kemudiannya memujuk dan menenangkan mangsa supaya membatalkan hasratnya daripada terjun daripada bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjut.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.38 petang.
-Deasoka