Empat pengedar dadah ditahan

Empat pengedar dadah ditahan

Sandakan: Empat lelaki ditahan pasukan perisikan khas, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15, dalam operasi di sebuah hotel di Batu 4, Bandar Indah, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 8 malam itu, semua suspek berusia lingkungan 22 hingga 38 tahun terbabit ditahan dipercayai cuba mengedar dadah jenis syabu kepada pelanggan.

Bagaimanapun, kecekapan pasukan polis yang diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan, Superintendan Abd Halim Ahmad mengesan kegiatan mereka terus membawa kepada penahanan keempat-empat suspek.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, serbuan dijalankan atas maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, semasa pemerhatian dijalankan, polis mendapati sebuah kenderaan Toyota Vigo berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan hotel berkenaan.

“Polis terus menyerbu kenderaan berkenaan dan melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menemui dua paket kecil dipercayai berisi dadah jenis syabu daripada pemandu kenderaan.

“Pemeriksaan terhadap penumpang hadapan pula menemukan lima paket plastik yang turut berisi ketulan hablur jernih yang turut disyaki dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap dua lagi suspek yang duduk di bahagian belakang pula tidak menemukan barang salah.

“Seterusnya, dengan dipandu arah suspek, pasukan serbuan pergi ke bilik hotel yang dihuni salah seorang suspek dan hasil pemeriksaan menemukan satu bekas aluminium yang turut berisi dadah.

“Semua suspek terus dibawa ke pejabat bahagian siasatan jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Abdul Rani berkata, berat dadah yang disyaki jenis methamphetamine yang dirampas dianggarkan 3.82 gram dengan nilai RM500 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek juga didapati positif jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|