Covid-19 Sabah: Bandar utama catat penurunan kecuali Tawau

Covid-19 Sabah: Bandar utama catat penurunan kecuali Tawau

Kota Kinabalu: Semua kawasan bandar utama di Sabah kecuali Tawau mencatat penurunan kes Covid-19 sekali gus menyumbang penurunan keseluruhan kepada 705 kes hari ini berbanding 820 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah Tawau mencatat peningkatan 10 kes kepada 32 kes hari ini berbanding 22 kes semalam.

Katanya, selain Tawau, turut mencatat peningkatan ketara ialah daerah Kota Marudu, bertambah 16 kes kepada 59 kes hari ini berbanding 43 kes semalam.

Antara bandar utama yang mencatat penurunan ialah Kota Kinabalu, Keningau, Lahad Datu, Sandakan, Penampang dan Kudat.

Bagaimanapun, beliau berkata daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi dengan 84 kes hari ini berbanding 103 kes semalam, diikuti Kota Belud sebanyak 82 kes.

“Sungguhpun Sabah merekodkan penurunan kes pada hari ini, trend perubahan angka bagi setiap daerah adalah tidak statik, namun analisis berdasarkan graf untuk kumulatif 30 hari, menunjukkan Sabah berada pada trend pelandaian.

“Daripada jumlah kes jangkitan yang direkodkan hari ini, 90.92 peratus daripadanya adalah dalam Kategori 1 (104 kes) dan Kategori 2 (537 kes); Kategori 3 (empat kes), Kategori 4 (enam kes) dan Kategori 5 (tiga kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, Masidi berkata sebanyak 16 daerah mencatatkan penurunan, 10 daerah mencatat peningkatan dan satu daerah kekal dengan catatan seperti semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|