Kapitan, UPPM Elopura bantu dapatkan kerusi roda untuk pesara uzur

Kapitan, UPPM Elopura bantu dapatkan kerusi roda untuk pesara uzur

Sandakan: Seorang pesara kerajaan yang uzur dan menghidap sakit buah pinggang menerima sumbangan sebuah kerusi roda yang didermakan seorang ahli perniagaan, di sini, baru-baru ini.

Pesara terbabit, Laimi Tinggi, 68, yang berdepan kesukaran untuk bergerak baru dibenarkan balik ke rumah selepas menjalani rawatan di Hospital Duchess of Kent.

Peralatan berkenaan diusahakan Ketua Masyarakat Cina Elopura, Kapitan James Leong dan Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyrakat (UPPM) DUN Elopura, David Ong selepas James dihubungi ahli keluarga Laimi.

“Setelah dihubungi anak Laimi, saya berbincang dengan David bagaimana untuk membantu beliau. Mujurlah kami berjaya mendapat pemilik Syarikat Multiplus Computer untuk menderma sebuah kerusi roda baharu kepada Laimi,” katanya.

Kerusi roda berkenaan diserahkan kepada anak Laimi, iaitu Fringco Abdullah oleh David dan disaksikan James di Multiplus Computer awal minggu ini.

Fringco mengucapkan terima kasih kepada Kapitan James, David dan Syarikat Multiplus Computer atas usaha serta keprihatinan mereka mendapatkan kerusi roda untuk kegunaan ibunya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|