KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan minat TotalEnergies untuk mewujudkan
kehadiran jangka panjang di negeri ini sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah
dalam sektor tenaga serantau.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Sabah mempunyai
potensi penerokaan laut dalam yang besar dan belum diterokai sepenuhnya serta
mengalu-alukan rakan kongsi berkeupayaan teknikal untuk membuka potensi sumber
berkenaan.
“Sabah berhasrat bekerjasama dengan pelabur bereputasi bagi membawa keupayaan
dalam penerokaan laut dalam serta pengeluaran yang cekap dan mampan bagi
merealisasikan sepenuhnya potensi huluan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Pengarah Urusan TotalEnergies
EP Malaysia, Jerome Saniez di Menara Kinabalu pada Selasa.
TotalEnergies, sebuah syarikat tenaga pelbagai global dari Perancis, merupakan antara
lima pemain utama dengan portfolio LNG dan huluan yang kukuh serta berkembang di
peringkat global.
Dalam pertemuan itu, Saniez memberi taklimat mengenai operasi TotalEnergies yang
kini terlibat dalam penerokaan ultra laut dalam di perairan Sabah dengan pegangan
kepentingan sebanyak 34.9 peratus bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dan Shell.
TotalEnergies turut terlibat dalam lima lagi blok di luar pesisir Sabah selain mempunyai
kepentingan dalam aset gas luar pesisir utama di Sarawak.
Saniez memberitahu Hajiji bahawa TotalEnergies yakin Sabah merupakan langkah
seterusnya yang kukuh bagi syarikat itu, mengambil kira potensi luar pesisir yang besar,
permintaan gas yang semakin meningkat, dasar mesra pelabur serta sokongan padu di
peringkat negeri dan Persekutuan.
Turut hadir Pengarah Perundangan TotalEnergies EP Malaysia, Solpiee Sahmat serta
wakil Serantau Dewan Perdagangan dan Industri (CCI) Perancis Malaysia bagi Sabah,
Jacques Leizerovici.
