KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata inisiatif peralihan tenaga Kerajaan Negeri dapat membantu Sabah menangani cabaran keselamatan bekalan tenaga serta tekanan kenaikan harga minyak global berikutan konflik di Asia Barat ketika ini.
“Inisiatif peralihan tenaga oleh Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan mula dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu amat bersesuaian serta tepat pada masanya untuk membantu Sabah berdepan dengan
cabaran akibat konflik di Asia Barat,” katanya.
Semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) yang pertama untuk tahun ini di Menara Kinabalu pada Jumaat, Ketua Menteri yang juga Pengerusi MTS menekankan bahawa Kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuhkan keselamatan tenaga Sabah melalui strategi pembangunan tenaga yang seimbang dan berdaya tahan
“Ini termasuk memanfaatkan sumber gas asli negeri, pembangunan tenaga hidro, penggunaan teknologi Battery Energy Storage System (BESS), serta penerokaan projek Pumped Storage Hydro sebagai penyimpanan tenaga berskala besar bagi meningkatkan fleksibiliti dan kestabilan sistem grid Sabah.
“Di bawah inisiatif peralihan tenaga Sabah kini sedang beralih ke arah peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dan gas asli sebagai alternatif kepada diesel dan Marine Fuel Oil (MFO),” katanya.
Hajiji berkata pembangunan sektor tenaga ini juga merupakan asas penting dalam menarik pelaburan serta memacu pembangunan sektor perindustrian di Sabah.
“Bekalan tenaga yang stabil, mampan dan berdaya saing akan terus menyokong pertumbuhan kawasan perindustrian strategik sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Ketua Menteri berkata sepanjang tahun 2025, Sabah telah mencatat beberapa pencapaian penting dalam memperkukuhkan sistem bekalan elektrik negeri.
Antaranya ialah penyiapan projek BESS berkapasiti 100 MegaWatt / 400 MegaWatt jam pada Ogos 2025, yang merupakan sistem penyimpanan tenaga bateri terbesar di Asia Tenggara, dan pengoperasian sambungan grid Sabah–Sarawak pada bulan Disember 2025 yang membolehkan import tenaga sebanyak 50MW.
Dalam masa yang sama, prestasi kebolehpercayaan bekalan elektrik turut menunjukkan peningkatan dengan penambahbaikan prestasi SAIDI (System Average Interruption Duration Index) daripada 416 minit pada tahun 2024 kepada 338 minit pada tahun 2025, katanya.
“Pencapaian SAIDI yang memberangsangkan ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak termasuk pengawal selia, utiliti, pengendali sistem serta pihak berkepentingan lain dalam menambahbaik operasi dan perancangan sistem bekalan elektrik negeri Sabah,” katanya.
Kejadian menara talian penghantaran 275kV Kolopis – Segaliud yang tumbang akibat bencana alam pada September tahun lalu pula telah menunjukkan kepentingan untuk memperkukuhkan daya tahan grid melalui pembangunan penjanaan yang mampan divPantai Timur serta pelaksanaan pautan grid bahagian Selatan (Southern Link) bagi meningkatkan tahap keboleharapan sistem grid Sabah, katanya.
MTS, dalam mesyuarat hari ini, antara lain telah meluluskan langkah-langkah intervensi di bawah inisiatif Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah (JELaS) bagi mempercepat pencapaian sasaran 100 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE- RAMP 2040).
“Keputusan-keputusan ini selaras dengan strategi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh daya tahan sistem tenaga melalui campuran tenaga yang seimbang merangkumi tenaga boleh baharu, gas asli dan teknologi penyimpanan tenaga.
“Di samping itu juga ia turut memperkukuh infrastruktur grid termasuk pembangunan Southern Link bagi meningkatkan tahap keboleharapan sistem khususnya di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Hajiji juga mengumumkan pelantikan ahli-ahli baharu Majlis ini, iaitu Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman.
