LAHAD DATU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menepis dakwaan kononnya kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada Indonesia seperti dilaporkan beberapa media negara jiran.
Beliau menegaskan laporan berkenaan tidak tepat dan tidak menggambarkan hasil sebenar rundingan sempadan antara kedua-dua negara.
“Dakwaan itu tidak benar. Siapa yang mengatakan kita serahkan kawasan tersebut? Jika laporan itu datang daripada media Indonesia, ia adalah tidak tepat.
“Hakikatnya, Malaysia memperoleh kelebihan dalam rundingan ini, namun butiran lanjut tidak boleh didedahkan kepada umum,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Bahagian Tungku, di sini, hari ini.
Menurut beliau, perbincangan berkaitan sempadan melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Ini adalah perkara diplomatik antara dua negara, jadi tidak semua perkara boleh diperincikan secara terbuka. Apa yang penting, Malaysia mendapat manfaat daripada hasil perbincangan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan penghargaan kerana dapat bersama masyarakat Lahad Datu meraikan Aidilfitri, sambil menyifatkan majlis seumpama itu sebagai platform penting untuk memperkukuh perpaduan dan kerjasama komuniti.
Sebelum ini, laporan media Indonesia memetik Ketua Pejabat Staf Presiden negara itu, Muhammad Qodari sebagai berkata kawasan berkenaan kini disahkan milik Indonesia selepas pemuktamadan penetapan sempadan darat.
Laporan itu turut menyebut penyelesaian berkenaan dicapai menerusi pendekatan diplomasi damai antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus memperjelaskan garis sempadan rasmi di Pulau Sebatik.
Bagaimanapun, pelarasan sempadan tersebut juga dilaporkan melibatkan perubahan kecil di pihak Indonesia, dengan kira kira 4.9 hektar kawasan dimasukkan ke dalam wilayah Malaysia.
