Penduduk Kampung Balat nikmati elektrik 24 jam

Penduduk Kampung Balat nikmati elektrik 24 jam

Kinabatangan: Penantian 400 penduduk Kampung Balat, di sini, untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari akhirnya tercapai apabila kemudahan utiliti itu beroperasi sepenuhnya sejak dua bulan lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kemudahan itu mula dinikmati selepas Stesen Janakuasa Balat mula beroperasi pada 1 Ogos lalu.

Katanya, pengoperasian stesen janakuasa itu memberi kegembiraan kepada lebih 400 orang penduduk di kampung berkenaan yang sudah lama menunggu kemudahan bekalan elektrik 24 jam.

“Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) ini dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi mengatasi kesukaran penduduk yang bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa sendiri atau pelita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan Sumbangan Ceria Ke Sekolah TNB/SESB Peringkat Kinabatangan, Program Sekolah Angkat SESB dan Perasmian Stesen Janakuasa Balat di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri menegaskan usaha SESB untuk membantu dan menyalurkan bekalan elektrik ke Kampung Balat menunjukkan keprihatinan syarikat utiliti itu terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berharap lebih banyak perkampungan di luar bandar yang belum menikmati bekalan elektrik dapat disalurkan bekalan demi kemudahan penduduk.

“Saya juga berharap agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar dapat melaksanakan BELB yang dirancang. Difahamkan sebanyak RM120.5 juta peruntukan sudah diberikan bagi melaksanakan projek BELB sambungan talian grid bagi tiga zon di Sabah.

“Saya percaya inisiatif ini akan membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat di luar bandar di mana kawasan kampung yang dahulunya gelap akan bercahaya dan penduduk kampung dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa perlu menggunakan genset

“Usaha ini juga akan menyaksikan pembangunan sosio ekonomi yang lebih baik di kampung-kampung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata bekalan elektrik dari stesen janakuasa di Kampung Balat juga akan disalurkan ke beberapa kampung lain berdasarkan kapisiti yang tinggi iaitu 700 megawatt.

Beliau berkata penduduk di Kampung Pinangah juga sudah menikmati bekalan elektrik 24 jam sejak bulan lalu, manakala usaha juga sedang dibuat untuk menyalurkan elektrik ke beberapa kampung berhampiran tidak lama lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|