80 peratus lengkap vaksin bulan depan

80 peratus lengkap vaksin bulan depan

Kota Kinabalu: Sasaran untuk mencapai 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19 di Sabah dijangka dicapai pada awal bulan depan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata ia berikutan masih ada daerah ketinggalan dari segi peratusan vaksinasi.

Katanya, ketika ini tujuh daerah, kebanyakannya di pantai timur belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin walaupun secara keseluruhan Sabah sudah mencatat 68 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin sehingga kelmarin.

“Setakat 6 Oktober ini, pencapaian pemberian vaksin bagi penduduk dewasa di Sabah untuk dos pertama ialah 74.8 peratus dan dos kedua pula ialah 68 peratus.

“Namun ada tujuh daerah daripada 26 daerah di Sabah yang masih mencatat bawah 60 peratus bagi pemberian lengkap vaksin (dua dos) kepada golongan dewasa.

“Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Pejabat Daerah terus meningkatkan usaha untuk mencari dan mendekati golongan dewasa yang belum menerima vaksin,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah yang dilihat masih lambat berbanding negeri lain.

Shahelmey yang juga EXCO Kesihatan negeri berkata pendekatan terbaharu yang dilaksanakan ketika ini ialah dengan menghantar kakitangan tambahan pemberian vaksin ke Sandakan dan daerah pantai timur yang lain.

“Pasukan tambahan itu sedang bergerak di lapangan untuk mendekati dan memberi vaksin di kawasan yang sudah dikenal pasti. Kita berharap kerjasama orang ramai yang belum menerima vaksin supaya tampil menerima vaksin bagi melindungi diri dan keluarga.

“Dengan usaha yang berterusan ini dan kerjasama orang ramai, kita menjangkakan boleh mencapai 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin di antara minggu pertama hingga kedua November,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengarah Operasi Program Imunisasi Covid-19 Sabah, berkata kadar vaksinasi harian di Sabah yang menurun walaupun belum mencapai 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin, mungkin disebabkan ramai penduduk sudah menerima vaksin lengkap.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada sebilangan penduduk dewasa di negeri ini yang belum bersedia tampil untuk menerima vaksin menyebabkan Sabah lambat mencapai imuniti kelompok.

Sehubungan itu, katanya pemberian vaksin masih diteruskan sama ada melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada atau program jangkauan luar yang dianjurkan di seluruh negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|