Empat ‘lubuk’ aktiviti pengedaran dadah diserbu

Empat ‘lubuk’ aktiviti pengedaran dadah diserbu

Kota Kinabalu: Empat lokasi yang dikenalpasti menjadi lubuk pengedaran dadah sekitar bandar raya ini diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Dalam operasi 4.30 pagi itu, seramai 20 individu ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 47 tahun.

Katanya, salah seorang suspek berusia ditahan bersama rampasan dadah jenis syabu bernilai lebih RM7,000.

“Operasi tertumpu di kawasan yang menjadi lubuk aktiviti pengedaran dan penjualan dadah di Kota Kinabalu iaitu Kampung Lok Buno, Taman Putrajaya, Kampung Lapasan dan Kampung Wak-Wak.

“Dalam operasi ini terbukti dengan kejayaan tangkapan seorang lelaki warga asing mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan merampas 22 paket berisi syabu seberat 56.77 gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki mengikut Seksyen 39A(1) bersama lima lagi tangkapan mengikut Seksyen 12(2).

Selain itu katanya, pasukan operasi turut menahan 13 lagi individu mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Secara keseluruhan, pasukan operasi menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 36 individu.

“Hasil daripada pemeriksaan, 20 lelaki ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di empat lokasi berkenaan.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 70.09 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM7,009 mengikut harga pasaran semasa,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menegaskan usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini akan sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa.

“Usaha ini adalah demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di Kota Kinabalu dan bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, kerjasama daripada orang awam amat diperlukan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|