Kerjasama semua pihak tangani isu dadah di Sabah

Kerjasama semua pihak tangani isu dadah di Sabah

Karambunai: Semua pihak perlu bekerjasama menangani masalah penyalahgunaan dadah secara berterusan di negeri ini, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi (KBT) berlaku masalah dadah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata usaha berterusan itu penting dalam usaha menangani isu dadah khususnya di lokasi KBT seperti di Kota Kinabalu, Keningau dan Tawau.

“Kolaborasi di antara jabatan adalah sangat penting bagi membanteras isu serta masalah dadah yang berlaku di negeri ini.

“KBT di sabah telah mencapai tahap ‘stabilisasi’ dan menunjukkan kesediaan komuniti untuk mengambil tindakan lanjut dalam isu penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Program Bengkel Pendayaupayaan Komuniti Peringkat Negeri Sabah 2021 anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di Nexus Resort & Spa, Karambunai, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah AADK Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim dan Setiausaha Eksekutif Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah, Josie Ansilmus.

Sementara itu, Shahelmey berkata usaha mewujudkan kesedaran perlu diteruskan bagi meningkatkan keupayaan dalam komuniti setempat menangani isu penyalahgunaan dadah.

“AADK bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan pencegahan kepada pemimpin komuniti, rakan strategik dan rakan pintar agar komuniti berupaya untuk melaksanakan program, dasar dan lain-lain perubahan yang dibangunkan kerajaan untuk mencapai komuniti bebas dadah,” jelasnya.

Seramai 30 peserta menghadiri bengkel berkenaan yang membabitkan KBT termasuk dari Kota Kinabalu, Keningau, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bengkel selama tiga hari itu bertujuan memaksimumkan jalinan kerjasama di antara agensi terlibat bagi mengekang penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|