Jari kanak-kanak cedera tersangkut pada tombol pintu

Jari kanak-kanak cedera tersangkut pada tombol pintu

Lahad Datu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera selepas jari telunjuk tangan kirinya tersangkut pada tombol pintu dipercayai di rumahnya, hari ini.

Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Besar Lahad Datu, di sini, untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan pihak hospital dipercayai gagal sebelum pihak hospital menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.32 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerah ke lokasi mangsa di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Lahad Datu.

“Mangsa masih mengadu kesakitan di wad kecemasan berkenaan dan operasi menyelamat terus dijalankan.

“Pasukan operasi menjalankan operasi mengeluarkan tombol pintu yang masih tersangkut pada jari kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memotong serta menanggal tombol pintu itu menggunakan grinder khas sehingga tombol pintu itu berjaya ditanggal.

Katanya, operasi akhirnya berjaya dilakukan pada jam 1.25 petang sebelum mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 1.14 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|