Covid-19 Sabah: ‘Trend’ penurunan kes berterusan hari ini

Covid-19 Sabah: ‘Trend’ penurunan kes berterusan hari ini

Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah terus menunjukkan ‘trend’ penurunan dengan sebanyak 442 kes hari ini, turun 55 kes berbanding 497 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan terdapat pengurangan kes yang direkodkan di kebanyakan daerah.

Bagaimanapun, katanya tiga daerah mencatat peningkatan ketara dengan Kota Belud mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 31 kes kepada 54 kes hari ini, menjadikannya daerah mencatat paling banyak kes di Sabah, hari ini.

Katanya, ia dikuti daerah Ranau yang mencatat peningkatan 21 kes kepada 51 kes hari ini dan Kinabatangan juga meningkat 21 kes kepada 36 kes hari ini.

“Kota Kinabalu adalah antara daerah yang mencatat penurunan ketara hari ini dengan 42 kes (-38), Tuaran (-15), Kota Marudu (-15) dan Penampang (-27),” katanya dalam kenyataan petang ini.

Beliau berkata, statistik harian Covid-19 di Sabah banyak dipengaruhi tahap sikap pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, ia boleh dilihat daripada peratusan kes sporadik atau kes yang dikesan melalui saringan beegejala yang turun naik setiap hari dengan 33.3 peratus direkodkan hari ini

“Jumlah kes yang dilaporkan termasuk kes jangkitan yang berlaku lebih awal daripada tempoh 24 jam yang lalu tetapi keputusan saringan hanya dilaporkan dan dimasukkan dalam statistik hari ini.

“Ini disebabkan antara lain masalah logistik JKNS dan masa yang diperlukan untuk membuat pengesahan (verifikasi) setiap kes, khususnya dari daerah yang jauh. JKNS mahu pastikan agar kesahihan setiap kes tidak menimbulkan sebarang keraguan,” katanya.

Masidi berkata, semua kes di Kota Belud yang dilaporkan hari ini berlaku di luar tempoh 24 jam yang lalu, iaitu dua hari atau lebih lama.

Katanya, sebanyak 36 daripada 42 kes di Kota Kinabalu juga lewat didaftarkan, diikuti 14 daripada 26 kes di Tenom, 16 daripada 36 kes di Kinabatangan dan 12 daripada 15 kes di Penampang.

Mengikut statistik, Masidi berkata hanya 232 kes (52.5 peratus) daripada 442 kes di Sabah hari ini berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Dalam pada itu, Masidi berkata masing-masing hanya seorang pesakit bagi Kategori 3, 4 dan 5 direkodkan hari ini, manakala 426 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2 iaitu jangkitan yang tidak bergejala atau bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 14 November 2021
Sabah 442 (497)
Malaysia 5,162 (5,809)

Kota Belud 54 (23)
Ranau 51 (30)
Tuaran 46 (61)
Kota Kinabalu 42 (80)
Kinabatangan 36 (15)
Tenom 26 (29)
Papar 21 (33)
Kota Marudu 20 (35)
Keningau 18 (22)
Penampang 15 (42)
Sipitang 15 ( 12)
Beaufort 15 (19)
Putatan 15 (11)
Lahad Datu 12 (8)
Tambunan 8 (13)
Beluran 8 (3)
Sandakan 8 (13)
Tawau 8 (7)
Kuala Penyu 6 (8)
Telupid 5 (6)
Pitas 3 (5)
Kudat 3 (16)
Semporna 2 (1)
Kunak 2 (3)
Tongod 2 (0)
Kalabakan 1 (2)
Nabawan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 13 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|