PRN Melaka: BN masih difitnah, kata Bung Moktar

PRN Melaka: BN masih difitnah, kata Bung Moktar

Melaka: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih berdepan pelbagai fitnah yang dilontarkan pemimpin parti lawan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, tindakan seumpama itulah yang menyebabkan BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan ia sekali lagi digunakan dalam PRN Melaka untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap UMNO – BN.

“BN tewas pada PRU-14 disebabkan oleh presepsi dan fitnah yang dilontarkan oleh parti lawan kepada BN.

“Hari ini perbuatan memfitnah dan melabel pemimpin BN dan UMNO dengan pelbagai gelaran masih berleluasa terutamanya di media sosial.

“Lebih malang ianya datang dari pemimpin utama parti berkenaan, tapi BN / Umno biarkan sahaja perbuatan mereka kerana rakyat lebih bijak menilainya,” katanya.

Ketua UMNO Sabah itu ditemui selepas menghadiri majlis sarapan pagi bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung Alai yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama calon BN bagi DUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Berikutan itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mengingatkan rakyat Melaka agar tidak terpedaya dengan dakyah parti lawan bagi mengelak tersalah pilih parti dalam PRN Melaka kali ini.

Katanya, UMNO – BN sudah terbukti mampu mentadbir negara dengan baik hasil kestabilan politik, selain mampu mengurus ekonomi negara dengan berkesan ketika pemerintahannya.

Beliau berkata, semua itu dapat dilakukan dengan baik kerana BN adalah parti yang memiliki organisasi lengkap yang tidak dimiliki mana-mana parti lain.

“Kita tahu mereka (parti lain) berusaha meniru cara pentadbiran BN/UMNO namun setelah mereka mentadbir negara berlaku kekerapan pertukaran kerajaan dalam tempoh yang singkat dan mereka gagal mengemudi pentadbiran kerajaan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, mengulas kesukaran melaksanakan kempen PRN Melaka disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengakui ia menjadi cabaran sepanjang PRN itu.

Bagaimanapun, katanya larangan kali ini ceramah politik terbuka dan ‘walkabout’ serta kempen rumah ke rumah tidak menghalang jentera UMNO – BN melaksanakan kempen mengikut SOP ditetapkan.

“Jentera kita (BN) kena agresif menjalankan kempen menjelaskan kepada pengundi kenapa berlakunya PRN kali ini serta hala tuju BN/UMNO jika diberikan peluang mentadbir negara khususnya Melaka dalam menjaga kestabilan politik dan memulihkan ekonomi negara serta membantu rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya calon PRN Melaka perlu diberikan kelonggaran untuk mengadakan ceramah agar mereka dapat menjelaskan hala tuju masing-masing kepada pengundi apabila mereka dipilih.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|