WARISAN didakwa sengaja main isu keluar Malaysia untuk kekal relevan

WARISAN didakwa sengaja main isu keluar Malaysia untuk kekal relevan

Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (WARISAN) didakwa sengaja memainkan isu keluar Malaysia sebagai cubaan terdesak untuk kekal relevan dalam politik.

Timbalan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ceasar Mandela Malakun, berkata apa yang melucukan parti pembangkang itu tidak berani bercakap mengenai perkara itu sebelum ini.

“Apa yang rakyat mahu tahu ialah kenapa mereka berdiam diri mengenai perkara ini ketika berkuasa dalam masa yang singkat dahulu. Adakah mereka takut Perdana Menteri sebelum ini, Tun Mahathir dan semua parti Malaya yang lain marah. Jika tidak, jadi kenapa baru sekarang?

“Sejak mereka dibuang oleh pengundi Sabah, pemimpin WARISAN sudah mati otak. Sekali sekala orang ramai mendengar mereka memberi satu dua pendapat apabila ada sesuatu isu timbul.

“Namun, mengenai Sabah keluar Malaysia, ini bukan sebahagian daripada kewujudan politik mereka. Mereka hanya tumpang sekaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan jurucakap WARISAN Putatan, Mathew Yong yang menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak menghiraukan ketidakpuasan hati rakyat terhadap cara kerajaan Pusat melayan Sabah selama lebih lima dekad.

Mandela berkata, bagi kebanyakan rakyat Sabah, membaca kenyataan pemimpin WARISAN mengenai isu berkenaan seperti sesuatu yang janggal dan tidak ikhlas.

“Mereka boleh mempolitikkan kenyataan Ketua Menteri semahu mereka tetapi rakyat tidak boleh lupa sikap berdiam diri mereka apabila Tun Mahathir dilaporkan berkata menaikkan royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak dan gas seperti Sabah akan membunuh PETRONAS.

“Rakyat masih ingat sebelum itu, Lim Guan Eng berjanji akan memberi 20 peratus royalti berbanding lima peratus yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak tetapi selepas mereka menang pilihan raya umum (PRU) dan menjadi Menteri Kewangan, dia melukakan hati kita dengan memungkiri janji. Dia beritahu kita perlu tunggu lagi.

“Rakyat masih ingat apabila WARISAN masih pembangkang, mereka mendakwa kerajaan Pusat berhutang kepada Sabah lebih RM1 trilion di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi apabila mereka menjadi kerajaan dan selepas beberapa pemimpin diberi jawatan menteri penuh dan timbalan menteri, mereka jadi bisu.

“Sekarang mereka kembali menjadi pembangkang dan terdesak mencari isu yang baik untuk menjadikan mereka nampak penting. Jadi, apa lagi isu politik panas untuk dimainkan selain keluar Malaysia?

“Mereka perlukan sesuatu yang dapat menarik perhatian rakyat tetapi sejujurnya WARISAN tidak pernah menaikkan isu ini sebagai sebahagian daripada perjuangan politik mereka sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mandela mencadangkan agar Mathew yang juga bekas Ahli Majlis Daerah Putatan supaya menumpukan pembangunan daerah Putatan berbanding membiarkan diri dipergunakan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman yang memainkan isu keluar Malaysia untuk tujuan politik dalam usaha terdesak untuk kekal relevan.

Mandela berkata, beliau berasa hairan apabila Mohd Azis mencadangkan bahawa sudah tiba masanya Sabah keluar daripada persekutuan selepas mendakwa bahawa peruntukan kepada Sabah dalam Bajet 2022 tidak adil, selain isu janji yang tidak ditunaikan dalam MA63.

“Azis adalah Timbalan Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Kenapa dia tidak mengatakan perkara ini apabila Guan Eng memungkiri janjinya dan apabila Tun Mahathir membuat kenyataan mengenai PETRONAS?

“Adakah kenyataan dan layanan mereka kepada rakyat Sabah adil? Adakah peruntukan diberi kepada Sabah oleh kerajaan PH tiada layanan diskriminasi?

“Jadi, kenapa dia berdiam diri pada masa itu? Adakah kerana dia bersyukur menjadi timbalan menteri dan menikmati semua faedah yang disediakan,” soalnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|