Elak ditahan Maritim Malaysia, dua lelaki terjun laut

Elak ditahan Maritim Malaysia, dua lelaki terjun laut

Kota Kinabalu: Dua lelaki nekad terjun ke dalam laut sebelum melarikan diri ke daratan bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kejadian di perairan Tanjung Wokong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, dua lelaki berkenaan bertindak demikian selepas dikesan melakukan aktiviti pengeboman ikan di perairan berkenaan.

Bahagian organ dalaman ikan hancur disyaki akibat bom ikan di perairan Tanjung Wokong, Kota Kinabalu. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot ronda maritim yang sedang melakukan operasi rutin mengesan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di kedudukan sekitar 0.13 batu nautika barat Tanjung Wokong.

Katanya, menyedari kehadiran bot ronda maritim, dua lelaki yang berada di atas bot pam kemudian bertindak nekad terjun ke laut dan berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak daripada diperiksa dan ditahan oleh anggota Maritim Malaysia.

Beberapa peralatan digunakan untuk aktiviti mengebom ikan berjaya dirampas Maritim Malaysia di perairan Tanjung Wokong, Kota Kinabalu. Pix Ihsan Maritim Malaysia

“Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemui beberapa fius pembakar, kotak mancis dan beberapa peralatan disyaki digunakan bagi tujuan mengebom ikan.

“Forensik terhadap perut ikan yang terdapat di atas bot terbabit mendapati organ dalaman ikan itu hancur dan disyaki disebabkan impak daripada aktiviti mengebom,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pam bot, hasil tangkapan serta peralatan mengebom ikan dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut.

Sementera itu, Mohd Rosli mengingatkan kepada mana-mana pihak yang melakukan aktiviti mengebom ikan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya) Akta Perikanan 1985.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 25(A) dan (B) akta yang sama yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi warga tempatan.

“Bagi rakyat negara asing, denda tidak lebih RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 bagi setiap kru,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|