Cari pendekatan baharu tangani isu banjir – Bung Moktar

Cari pendekatan baharu tangani isu banjir – Bung Moktar

Shah Alam: Kerajaan diminta mencari pendekatan baharu bagi melaksanakan perancangan jangka pendek dan panjang untuk menangani masalah banjir yang sering berlaku di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata situasi banjir yang kerap berlaku bukan hanya disebabkan faktor perubahan iklim tetapi turut berpunca daripada pembangunan tidak terancang, pengabaian aspek pemuliharaan alam sekitar dan kelemahan penyelenggaraan sistem saliran yang tidak sempurna.

Bung Moktar turut serta membantu menurunkan barang keperluan asas untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata beliau sering membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat dan menegaskan bahawa isu banjir bukan perkara baharu tetapi sudah menjadi satu ancaman kepada negara dan rakyat.

“Kerajaan perlu ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani masalah banjir di negara ini.

“Ia tidak hanya bergantung dengan ‘Ad hock committee’ semata-mata tapi jawatankuasa berkenaan perlu ada perancangan jangka masa panjang untuk menangani isu banjir,” katanya selepas menyampaikan sumbangan keperluan asas daripada UMNO Sabah kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam dan Kampung Labihan Dagan Banting, di sini, kelmarin.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata pada masa sama kerajaan perlu bertindak melengkapkan aset bantuan penyelamat dan anggota supaya dapat digerakkan dengan segera bagi membantu mangsa apabila berlaku banjir luar biasa.

Beliau turut meminta sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya bersama turun padang membantu mangsa banjir di beberapa daerah di Selangor yang terjejas teruk akibat kejadian banjir yang berlaku pada minggu lalu.

“Bukan saja bantuan dalam bentuk kewangan yang diperlukan tetapi juga bantuan lain termasuk tenaga sukarelawan untuk membersihkan lumpur dan sampah di dalam rumah kesan daripada banjir itu.

“Walaupun banjir mulai surut namun sumbangan berterusan masih diperlukan kerana tugas pada fasa pasca banjir lebih mencabar berbanding keadaan semasa banjir.

“Penduduk yang terjejas bukan sahaja memerlukan bantuan tetapi dari segi sokongan moral dan kita wajar buktikan semangat ‘Keluarga Malaysia’ membantu mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|