Dua ‘pusher’ ditahan

Dua ‘pusher’ ditahan

Tawau: Dua lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam operasi yang dijalankan polis di Kampung Langsat dan Kampung Haji Matahir, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, dalam serbuan pertama polis menahan seorang lelaki selepas menemui sekotak rokok yang mengandungi dua paket plastik lutsinar.

Katanya, anggaran berat dadah yang dirampas daripada suspek warga asing terbabit adalah seberat 50.8 gram.

“Serbuan kedua yang dijalankan pada jam 9.50 malam di Jalan Pangkalan Hujung Kampung Haji Matahir pula berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 23 tahun.

“Suspek yang ditahan bersama sebuah beg pada awalnya panik dengan kehadiran polis dan cuba melarikan diri namun gagal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peter berkata, pemeriksaan lanjut pada beg yang dibawa suspek didapati berisi sembilan paket plastik lutsinar pelbagai saiz.

Katanya, semua plastik itu mengandungi hablur jernih disyaki dadah dengan anggaran berat 82.41 gram.

“Kedua-dua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|