UMNO mahu tanding kerusi Parlimen Beaufort

UMNO mahu tanding kerusi Parlimen Beaufort

Beaufort: UMNO bahagian Beaufort mengambil pendirian untuk meletakkan calon parti itu di kerusi Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan kerusi berkenaan yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) diwakili UMNO sebelum ini.

Katanya, berdasarkan kedudukan itu, tiada sebab UMNO tidak boleh meletakkan calon di kerusi berkenaan meskipun ketika ini ia disandang pemimpin parti lain.

“Hanya bila berlakunya rentas parti oleh Ahli Parlimenya tanpa persetujuan sepenuhnya daripada ahli UMNO bahagian itu, dengan mudah kawasan berkenaan beralih kepada parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat berkelompok cawangan UMNO bagi daerah mengundi Melabau, di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching; Naib Ketua UMNO bahagian, Awang Damit Jion dan Ketua Penerangan UMNO bahagian, Abdullah Satar.

Kerusi Parlimen Beaufort dimenangi atas tiket BN oleh penyandangnya, Datuk Azizah Mohd Dun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 sebelum meninggalkan parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Awang Aslee berkata walaupun pemimpin terdahulu keluar untuk menyertai parti lain, UMNO bahagian itu masih wujud dan tiada cawangan yang dibubarkan.

Jelasnya, keadaan itu menggambarkan struktur UMNO khususnya di bahagian itu masih kukuh.

“Ketika ini terdapat lebih 224 cawangan UMNO di bahagian ini yang masih berfungsi seperti biasa dan bersiap sedia bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

“Saya yakin ahli yang ada adalah mereka yang setia kepada perinsip perjuangan dan tiada sebab bagi kita melepaskan kawasan ini daripada diwakili UMNO pada PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung di bahagian itu, Awang Aslee berkata sambutan ahli UMNO masih ditahap yang tinggi.

Katanya, kehadiran ahli ke mesyuarat cawangan sangat menggalakkan walaupun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

“Saya yakin semangat dan kesetiaan mereka kepada parti masih kukuh malah ada ahli baharu yang berminat menyertai perjuangan UMNO,” katanya.

Pada majlis itu Awang Aslee turut menerima 49 ahli baharu UMNO dari daerah mengundi Takuli.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|