Tawau: Tindakan pantas Bahagian Operasi Darat, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di sebuah rumah di Taman Amber Park, Jalan Kuhara, di sini, malam tadi.
Semua PATI yang ditahan membabitkan 11 lelaki, tiga wanita dan dua kanak-kanak dalam Operasi Cegah Pati (OCP) Daratan Zon Selatan, jam 9.45 malam, yang diketuai oleh Ketua Staf Bahagian Operasi Darat Senior Asisten Komisioner (SAC) M Chandra.
Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Katanya, sebaik serbuan dijalankan, pihaknya mendapati semua PATI berkenaan baru tiba dari negara jiran.
“Semua PATI yang berjaya ditahan berusia lingkungan 1 hingga 58 tahun yang berasal dari negara Indonesia.
“Semua PATI terbabit mengaku baru tiba di negara ini menggunakan bot sebelum dihantar ke lokasi serbuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad berkata, semua suspek terus ditahan dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (PINDAAN 2002) dan Seksyen 55E akta yang sama.
Sementara itu, Ahmad Fuad mengucapkan terima kasih kepada masyarakat setempat yang telah menyalurkan maklumat positif ini.
“Pihak ESSCOM akan terus berkerjasama dengan masyarakat setempat & menyeru untuk terus menjadi mata dan telinga pihak penguatkuasa,” katanya.
-Deasoka