Dua pengedar dadah ganja ditahan

Dua pengedar dadah ganja ditahan

Kota Belud: Dua lelaki yang disyaki menjadi pengedar dadah jenis ganja di daerah ini ditahan di sebuah rumah di Kampung Pirasan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, selepas menerima maklumat pengedaran dadah berkenaan.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, seorang daripada suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap.

“Pemeriksaan lanjut berjaya menemukan satu bekas plastik yang diserahkan sendiri oleh suspek berisi 20 paket plastik lutsinar mengandungi daun daun kering yang disyaki dadah jenis ganja.

“Semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM1,200 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sahimi berkata, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kota Belud, untuk tindakan selanjutnya bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis THC.

“Dadah jenis ganja yang dirampas daripada suspek dipercayai untuk pasaran sekitar Kota Belud dengan harga RM120 hingga RM140 bagi setiap paket kecil.

“Siasatan terhadap kedua-dua suspek dijalankan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sahimi berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pengedar sebenar dan rakan subahat yang membekal daun ganja kepada suspek akan dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah penyalahgunaan dadah amat dialu-alukan untuk disalurkan kepada BSJN IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|