Pertukaran Christina tiada kaitan isu ‘dine in’

Pertukaran Christina tiada kaitan isu ‘dine in’

Kota Kinabalu: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, hari ini, menjelaskan pertukaran pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), baru-baru ini, tiada kena mengena dengan isu kebenaran ‘dine in’ di negeri itu.

Katanya, pertukaran itu dibuat atas sebab keperluan perkhidmatan dan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi di Kementerian yang terlibat.

”Datuk Dr Christina Rundi antara beberapa pegawai tinggi yang dikenalpasti ada potensi untuk pegang jawatan yang lebih tinggi di Kementerian Kesihatan (KKM) dan beliau ditukar ke ibu pejabat sebagai persediaan untuk mengisi salah satu jawatan penting akhir tahun ini apabila penyandangnya bersara.

”Pertukarannya (Christina) tiada kena mengena dengan isu kebenaran ‘dine-in’ yang diputuskan Jawantankuasa Pengurusan Covid Negeri yang dipengerusikan oleh SKN (Setiausaha Kerajaan Negeri),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri sendiri sebelum ini merayu supaya Christina dikekalkan di Sabah namun kerajaan pusat tidak dapat mempertimbangkannya atas sebab-sebab tertentu.

Katanya, beliau sendiri juga telah berhubung dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berhubung perkara itu tetapi tiada apa yang boleh dilakukan kerana keputusan itu adalah di peringkat ketua setiausaha negara (KSN) yang membabitkan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi lain.

”Ketua menteri bagi pihak kerajaan negeri sendiri merayu agar Dr Christina dikekalkan di Sabah dalam keadaan kita sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19 yang serius.

”Saya sendiri juga telah menghubungi ketua pengarah (Noor Hisham), merayu agar Dr Christina dikekalkan atau sekurang kurangnya bertukar hanya pada hujung tahun.

”Noor Hisham memaklumkan keputusan ini adalah diperingkat KSN yg melibatkan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi lain kerajaan pusat.

”Kerajaan pusat juga secara rasmi memaklumkan kepada kerajaan negeri bahawa rayuan itu tidak dapat dipertimbangkan atas sebab-sebab keperluan perkhidmatan dan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi di kementerian yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, polemik mengenai pertukaran jawatan pengarah JKNS itu harus dihentikan agar pihak yang berkaitan menumpukan semua usaha dalam mengurus serta melawan ancaman penularan wabak Covid-19.

Katanya, semua pihak harus memberi peluang kepada pengarah kesihatan baharu untuk membuktikan kewibawaan dan kemampunanya mengurus ancaman Covid-19, sama dengan peluang yang telah diberikan kepada Christina.

”Pengganti Dr Christina ialah Dr Rose Nani Mudin, anak jati Sabah yang berasal dari Papar, bapanya (kaum) Kadayan dan ibunya Kadazan, beliau juga mempunyai latar belakang kepakaran yang sama dengan Dr Christina.

”Kita sayang dan mengiktiraf dedikasi kerjaya Dr Christina, kerana itu kerajaan negeri merayu agar beliau dikekalkan, tetapi kita menerima hakikat beliau juga seorang pegawai perkhidmatan awam yang tertakluk kepada pertukaran pada bila-bila masa untuk bertugas di tempat lain.

”Ketika mula-mula dilantik dalam perkhidmatan awam, semua pegawai kerajaan akur dengan syarat ini,” katanya.

Terdahulu, baru-baru ini, Rose Nani dilantik sebagai pengarah kesihatan Sabah yang baharu menggantikan Christina yang dipindahkan ke Putrajaya.

Bagaimanapun, pertukaran itu mencuri perhatian pelbagai pihak termasuk ada yang mendakwa Christina diganti kerana isu kebenaran ‘dine in’ di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|