Dua pengedar dadah diberkas

Dua pengedar dadah diberkas

Kota Belud: Dua pengedar dadah berjaya ditahan polis dalam operasi ‘Op Tapis Narkotik’, yang dijalankan di sebuah rumah di Kampung Kulambai, di sini, Jumaat lalu.

Serbuan yang dijalankan atas maklumat itu turut berjaya merampas 30 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Katanya, sebaik sampai di rumah berkenaan, dua lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di tangga rumah.

“Bagaimanapun sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, kedua-dua suspek yang terkejut terus bertindak cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan.

“Suspek kemudiannya menyerahkan beg sandang yang dibawa dan hasil pemeriksaan menemui 30 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sahimi berkata, kedua-dua suspek terus dibawa ke IPD Kota Belud dan hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap mereka juga didapati positif Methaphetamine dan Amphetamine.

Katanya, nilai semasa pasaran dadah yang dirampas ialah sebanyak RM565 dan ia dipercayai akan dipasarkan di sekitar Kota Belud dalam bentuk ‘deck’ berharga RM20 hingga RM50.

“Usaha mengesan sumber bekalan dadah ini akan dijalankan dan masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat juga sangat dialu-alukan untuk disalurkan kepada pihak polis.

“Bersama-sama kita membantu membenteras penyalahgunaan dadah ke arah pembentukan masyarakat sejahtera yang bebas daripada najis dadah,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|