GRS terus kukuh jika Ismail Sabri jadi PM

GRS terus kukuh jika Ismail Sabri jadi PM

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus kukuh jika Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, berkata ia berikutan jangkaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan meneruskan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, jika Ismail Sabri mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen menerusi akuan bersumpah (SD) yang dihantar ke Istana Negara semalam, ia pasti memberi kesan positif kepada kerajaan negeri.

“Sudah semestinya ada kesan kepada kerajaan negeri jika Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kerana politik Sabah masih lagi dipengaruhi kuat oleh senario politik persekutuan.

“Ramai yang berpandangan bahawa kerajaan Sabah akan kukuh jika beliau dilantik memandangkan beliau masih lagi mendokong aspirasi kerajaan atau kepemimpinan kerajaan PN,” katanya.

Berdasarkan perkembangan setakat malam tadi, Ismail Sabri dikatakan mendapat sokongan SD terbanyak melebihi 111 Ahli Parlimen berbanding calon Perdana Menteri dari blok pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan juga, kumpulan Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri akan ke Istana Negara hari ini untuk sekali lagi mengesahkan sokongan terhadap beliau untuk menjadi Perdana Menteri Kesembilan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|