Guru disaran ambil masa tambah ilmu

Guru disaran ambil masa tambah ilmu

Labuan: Guru disaran mengambil masa menambah ilmu melalui pembacaan yang luas dan merebut ruang serta peluang meningkatkan kualiti pengajaran melalui kajian tindakan dan inovasi yang boleh dikembangkan kepada penerbitan buku.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Yusup Mohamad, berkata penerbitan buku mampu memberi inspirasi dan semangat kepada guru untuk berkecimpung dalam kajian kerana ia dapat membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam amalan pengajaran serta pembelajaran.

“Inovasi pula boleh menambah baik kualiti pedagogi guru dan pembelajaran murid dengan pengenalan produk, pendekatan dan strategi baharu serta menyumbang kepada kemenjadian murid,” katanya ketika melancarkan buku ‘Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti’ secara dalam talian, baru-baru ini.

Buku tulisan Dr Hyginus Lester yang kini bertugas di JPWPL dan Goh Kok Ming dari SJKC Chi Sheng 2, Perak itu diterbitkan Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS).

Yusup turut menyatakan penghargaannya kepada kedua-dua penulis buku terbabit kerana mengambil inisiatif menulis dan membukukan kajian serta inovasi mereka untuk dikongsikan kepada warga pendidik.

Buku yang julung kali diterbitkan LaRIS itu mengandungi tiga bahagian iaitu kajian, inovasi dan kreativiti yang memuatkan tiga kajian tindakan dan satu kajian tinjauan dalam bahagian pertama manakala lima inovasi dikongsikan dalam bahagian kedua.

Bahagian kreativiti pula memuatkan dua teknik penulisan kajian tindakan dan penghasilan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Sementara itu, Hyginus, berkata buku berkenaan merealisasikan matlamat persatuan iaitu mempromosi, menjalankan, mengedar dan menerbitkan kajian serta bahan ilmiah.

Beliau berharap buku itu menjadi rujukan tambahan guru dalam menambah baik kualiti pedagogi dan pembelajaran murid.

Majlis pelancaran buku setebal 70 muka surat dan berharga RM40 senaskhah itu boleh diikuti melalui pautan https://youtu.be/Awj7DgAvBL4.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|