Dua nelayan asing ditahan tangkap ikan guna bahan letupan

Dua nelayan asing ditahan tangkap ikan guna bahan letupan

Semporna: Dua nelayan warga asing ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah bahan letupan dalam kejadian di perairan Bohey Dulang, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 12.15 tengah hari itu, kedua-dua suspek berusia 25 dan 30 tahun itu ditahan anggota Tiger Platon Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan operasi selepas menerima maklumat dan risikan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semasa rondaan dijalankan, pihaknya mengesan sebuah bot pam yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan operasi terus cuba menahan bot pam berkenaan untuk pemeriksaan, namun kedua-dua suspek bertindak memecut ke kawasan perairan cetek.

“Bagaimanapun, tindakan cekap pasukan operasi berjaya memintas pam bot berkenaan sebelum berlaku sedikit pergelutan selepas suspek cuba melawan.

“Sebaik kedua-dua suspek berjaya ditahan, pemeriksaan menemui empat botol disyaki bom ikan di dalam bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga kotak mancis dan tiga batang alat pencetus letupan yang disyaki untuk aktiviti pengebom ikan.

Katanya, pasukan operasi turut menemui pelbagai hasil laut dalam perut ikan pecah selain keadaan isi ikan yang lembik.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM5,555 termasuk bot pam yang digunakan kedua-dua suspek.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|