Tiket perlawanan Sabah FC menentang PJ City dijual bermula hari ini

Tiket perlawanan Sabah FC menentang PJ City dijual bermula hari ini

Kota Kinabalu: Perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia 2021 antara Sabah FC menentang PJ City di Stadium Likas, di sini, Selasa depan dijual bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pintu dan Tiket, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata, pihaknya menetapkan sebanyak 5,570 tiket akan dijual kepada penyokong yang berminat untuk menyaksikan perlawanan itu.

Katanya, tiket perlawanan Piala Malaysia kali ini dijual mengikut harga sama iaitu 800 tiket untuk tempat duduk grandstand yang dijual pada harga RM35.

“Manakala bagi zon A dan D pula, sebanyak 1,200 tiket dan 2,200 tiket dijual pada harga RM12 dan bagi zon B dan C pula masing-masing sebanyak 685 tiket dijual pada harga RM20.

“Perlawanan terakhir dijadualkan akan bermula jam 9 malam dan penyokong dibenarkan masuk ke stadium bermula jam 6 petang hingga 9 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsuddin berkata, kehadiran penyokong yang hadir pada perlawanan sebelum ini amat memuaskan dan mematuhi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan Covid-19 ditetapkan.

Sehubungan itu katanya, keselamatan semua pihak akan sentiasa diutamakan bagi memastikan penularan wabak ini terkawal.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir dalam perlawanan sebelum ini amat baik. Kita harap ia akan diteruskan lagi pada perlawanan akan datang.

“Pastikan penonton yang hadir memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|