Hilang dua hari, ditemui maut kemalangan

Hilang dua hari, ditemui maut kemalangan

Beaufort: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak kelmarin, terjawab apabila dia ditemui maut dipercayai terbabit dalam kemalangan di Kampung Saga-Saga Pimping, Membakut, pagi tadi.

Mayat R Kamlayswaran, 50, ditemui orang awam jam 6.50 pagi dipercayai lemas selepas terhumban ke dalam parit di tepi jalan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort Asisten Superintendan Dublin Patrick Rudes berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklum penemuan mayat mangsa terbabit.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dipercayai dalam perjalanan ke arah Kuala Penyu sebelum disyaki hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

“Mangsa disyaki meninggal dunia di lokasi akibat lemas berdasarkan keadaannya di dalam parit berkenaan, manakala motosikal pula tidak mengalami apa-apa kerosakan.

“Keadaan fizikal mangsa serta pakaian yang digambarkan dalam laporan polis berkaitan orang hilang sejak 5 November lalu adalah sepadan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dublin berkata, setakat ini tiada sebarang unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui namun siasatan lanjut masih diteruskan.

Katanya, mangsa juga tidak disyaki menunggang motosikal dibawah pengaruh dadah atau alkohol.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk proses bedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19 diterima.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|