Sabah mesti kalahkan PJ City Selasa ini – Ong Kim Swee

Sabah mesti kalahkan PJ City Selasa ini – Ong Kim Swee

Kota Kinabalu: Sabah perlu menang menentang PJ City dalam saingan akhir Kumpulan D aksi Piala Malaysia 2021 untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir, Selasa ini.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata walaupun berjaya menundukkan Kelantan 2 – 1 di Stadium Likas, malam tadi, ia belum melayakkan Sabah berikutan kelebihan perbezaan gol dimiliki PJ City.

Kedua-dua pasukan berkongsi lima mata, manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu Kumpulan D terus mengukuhkan kedudukan dengan 15 mata.

Kim Swee berkata, tiada perbezaan sama ada Sabah FC mencatat satu mata atau tiga mata malam tadi kerana ia tetap memerlukan kemenangan apabila berdepan dengan PJ City Selasa ini.

“Jadi kita harus mengambil kesempatan terutamanya dengan bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan keputusan tiga mata.

“Ada kemungkinan permainan tidak begitu baik tetapi keputusan perlawanan terakhir dengan PJ City amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan Sabah FC menentang Kelantan FC yang berkesudahan 2 – 1, malam tadi.

Kim Swee berkata, pasukannya akan memikirkan langkah taktikal yang berlainan untuk menundukkan PJ City bagi mencapai tiga mata penuh.

Mengulas permainan malam tadi, Kim Swee berkata anak buahnya tidak menunjukkan permainan yang cukup baik namun mengakui mereka sudah mencuba dengan sedaya upaya.

Paling jelas, katanya Sabah FC masih lagi lalai pada minit awal permainan menyebabkan gawang mereka dibolosi seawal minit kelima, sama seperti kesilapan dilakukan ketika bertemu JDT sebelum ini.

“Ini menyukarkan kita namun dengan gol penyamaan selepas itu membantu pasukan kita untuk meneruskan lagi dan mencuba sehingga minit terakhir di mana kita mendapat gol kemenangan,” katanya.

Gawang Sabah FC dibolosi melalui tendangan jarak jauh pemain Kelantan, Che Mohd Safwan Hazwan pada minit kelima permainan, sebelum disamakan melalui gol sepakan penalti penyerang Sabah, Amri Yahyah pada minit ketujuh.

Gol kemenangan Sabah disumbangkan pemain tengah skuad Sang Badak, Mohd Sahrizan Saidin pada minit akhir perlawanan sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama untuk Sabah FC dalam aksi Piala Malaysia tahun ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|