Cubaan seludup petrol, barang kawalan bernilai RM56,829 gagal

Cubaan seludup petrol, barang kawalan bernilai RM56,829 gagal

Semporna: Cubaan penyeludupan minyak petrol dan barang kawalan gagal selepas aktiviti berkenaan berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam rondaan di perairan timur laut Pulau Mataking, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 7 pagi itu, pasukan operasi menahan dua bot laju dan tiga lelaki yang disyaki menyeludup keluar barang-barang tanpa cukai ke negara jiran dalam dua siri tangkapan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitenden Mohd Yacob Murad berkata, tangkapan pertama dijalankan selepas pihaknya mengesan sebuah bot bergerak laju menuju ke perairan Filipina.

Katanya, menyedari kehadiran PGA, juragan bot bertindak memecut laju namun namun berjaya dipintas bot peronda PGA untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal dijalankan, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun berada di dalam bot berkenaan bersama 22 gelen berkapasiti 25 liter dan 20 liter berisi minyak petrol bersubsidi.

“Turut dirampas sebuah bot laju, dua enjin sangkut jenama Yamaha 40hp dan 15hp serta tiga tong tangki minyak bot berkapasiti 25 liter,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Yacob berkata, 30 minit selepas itu, pihaknya mengesan sebuah lagi bot laju di lokasi yang sama.

“Pemeriksaan awal mendapati dua lelaki berada dalam bot laju membabitkan seorang warga tempatan berusia 21 tahun dan juragan bot berusia 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan menemui 704 helai kain batik, 61 pasang pakaian kanak-kanak pelbagai jenama, 120 botol losyen jenama ‘Emerin Sweet’, 10 bungkus besar pampers jenama Viral Borneo Pants dan 97 bungkus pelitup muka.

“Turut dirampas bot laju bersama enjin sangkut jenama Yamah 40hp, enjin pam bot, dua tong minyak petrol berkapasiti 25 liter dan satu tong gas berwarna hijau merah,” katanya.

Menurutnya, nilai kedua-dua rampasan dianggarkan bernilai RM56,829 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 2(1) Akta Bekalan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|