Real Beauty lancar produk baharu Arby Milky Sunscreen sempena ulang tahun ketiga

Real Beauty lancar produk baharu Arby Milky Sunscreen sempena ulang tahun ketiga

Kota Kinabalu: Mungkin tidak ramai menyedari dalam banyak-banyak produk kecantikan yang ada di pasaran ketika ini, turut terselit produk anak tempatan atau tepatnya produk buatan Sabah.

Meski dibayangi produk luar dengan pelbagai jenama yang sudah lama bertapak di pasaran, produk kecantikan buatan Sabah tetap setanding dari segi kualiti, malah mungkin lebih baik berbanding yang lain.

Real Beauty atau ringkasnya Arby adalah antara jenama produk kecantikan Sabah yang mula meningkat naik walaupun baru bertapak kira-kira tiga tahun dalam segmen produk kecantikan.

Diasaskan usahawan wanita, Rejanah Bahanda, jenama Arby yang menampilkan pelbagai produk kecantikan kini semakin berkembang dengan sambutan yang terus bertambah hari demi hari meskipun dalam situasi pandemik Covid-19 yang belum reda ketika ini.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Real Beauty Sdn Bhd yang juga pengasas produk Arby bertindak berani menampilkan produk baharu ketika seluruh dunia masih dibayangi kesan buruk ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang menggusarkan ramai usahawan.

Sempena sambutan ulang tahun ketiga syarikat produk kecantikan yang bertapak di Kota Kinabalu itu, satu produk baharu diperkenalkan kepada pengguna, khususnya mereka yang mementingkan penjagaan kulit.

Dinamakan Arby Milky Sunscreen SPF40, produk penjagaan kulit itu dilancarkan secara rasmi malam tadi serentak dengan sambutan ulang tahun ketiga jenama Arby yang berlangsung di Palace Hotel, Kota Kinabalu.

Produk untuk melindungi kulit daripada sinaran matahari itu mendapat kelulusan Pengarah Perkhidmatan Farmaseutikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Peraturan 18A(2), Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Rejanah berkata, meskipun baru dilancarkan, produk itu sudah mula diedarkan di pasaran melalui tempahan awal pengedar produk Arby dengan lebih 3,000 unit dikeluarkan kilang syarikat itu untuk dijual kepada orang ramai setakat ini.

“Produk yang baru dilancarkan ini diperlukan oleh semua orang. Inspirasinya berasaskan keinginan saya sendiri untuk menyediakan produk yang semua orang boleh pakai.

“Sekarang kebanyakan produk di Sabah dan Malaysia amnya, banyak produk, ramai jadi ‘founder’ produk tetapi tiada produk yang seperti ini.

“Setakat ini, ia adalah produk pertama yang betul-betul untuk penjagaan daripada sinaran matahari dan produk ini bukan dihasilkan sehari dua tetapi dihasilkan daripada penyelidikan yang mengambil masa setahun sehingga produk siap sepenuhnya.

“Apa yang lebih penting, produk ini dihasilkan sepenuhnya di Sabah,” katanya ditemui pemberita selepas pelancaran produk Arby Milky Sunscreen dan sambutan ulang tahun Real Beauty serta penyampaian anugerah kepada rakan niaga syarikat itu di Palace Hotel Kota Kinabalu, malam tadi.

Sambutan dibuat secara sederhana dengan kehadiran terhad rakan niaga dan jemputan Real Beauty sejajar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Dr Tarsiah Tz Taman; Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda; Pengerusi Dewan Perniagaan Usahawan Sabah, Anita Mohamed dan pemilik kilang AFCL Bioscience Sdn Bhd.

Mengulas mengenai cabaran ditempuhi Real Beauty sepanjang tiga tahun bertapak dalam perniagaan produk kecantikan di Sabah, Rejanah berkata selepas ditubuhkan pada 2018 dan mula beroperasi pada 2019, ia diuji dengan kemunculan pandemik Covid-19 pada 2020.

“Real Beauty baru saja bermula pada 2019 sebenarnya dan sebelum sempat berkembang, pandemik melanda pada 2020. Ia memang memberi kesan, malah kita tersungkur sebenarnya pada tahun lalu.

“Namun, kita mendapat satu kaedah baharu untuk meneruskan perniagaan iaitu dengan mewujudkan perniagaan secara dalam talian. Kita menggunakan media sosial untuk mencari pelanggan dan pengedar produk Arby,” katanya.

Tegasnya, tiada ‘magic’ dalam perniagaan yang membolehkan seseorang usahawan terus maju, sebaliknya semua bergantung kepada usaha dan pengorbanan kewangan, tenaga serta masa.

Jelasnya lagi, media sosial menjadi platform besar era pandemik yang banyak membantu usahawan untuk meneruskan perniagaan ketika pergerakan orang ramai terbatas selain diselubungi kebimbangan disebabkan pandemik Covid-19.

Rejanah berkat pendekatan itu bukan saja membantu Real Beauty terus bertahan, malah dapat terus membantu pekerja dan rakan niaganya untuk terus menjana pendapatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|