Mayat kanak-kanak serangan buaya ditemui

Mayat kanak-kanak serangan buaya ditemui

Lahad Datu: Mayat kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dibaham buaya di sungai Kampung Bakau Lama, di sini, semalam, ditemui oleh penduduk kampung, pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui kira – kira jam 6.41 pagi dalam keadaan terapung dengan kesan gigitan di bahagian kakinya dipercayai akibat diserang reptilia ganas itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung pada hari kedua dimulakan kira-kira jam 6.30 pagi bersama penduduk kampung.

Katanua, mangsa kemudian ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di sungai pada jarak 700 meter dari lokasi mangsa diserang buaya.

“Ketika ditemui, terdapat kesan gigitan pada bahagian kaki kiri mangsa dipercayai akibat digigitan buaya.

“Namun mayat mangsa masih dalam keadaan sempurna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumsoa berkata, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, katanya ketika kejadian Sabtu lalu, mangsa dipercayai diserang buaya ketika sedang mencari udang untuk dijadikan sebagai umpan memancing bersama dua rakannya.

“Rumah mangsa terletak di atas air dan ketika kejadian mangsa dikatakan menangkap udang di bawah kolong rumahnya namun tiba-tiba diserang seekor buaya.

“Ketika itu, mangsa dikatakan dapat melepaskan diri dan masih berada di sungai. Mangsa kemudian cuba menyelamatkan diri, tetapi sekali lagi diserang sebelum ditarik ke dalam sungai dan hilang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|