Kota Kinabalu: Sabah FC terpaksa menunggu sehingga minit akhir untuk mencatatkan tiga mata dalam perlawanan menentang Kelantan FC di Stadium Likas, malam ini.
Keputusan berakhir dengan kemenangan pertama bagi pasukan Sabah FC dalam aksi Piala Malaysia 2021 selepas menundukkan Kelantan 2 – 1.
Sang Badak pada mulanya hampir dikecewakan selepas dibolosi pada minit kelima menerusi tendangan jarak jauh pemain Kelantan, Che Mohd Safwan Hazwan.
Namun, pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee tidak perlu menunggu lama apabila menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi sepakan penalti oleh penyerang Amri Yahyah.
Pemain gantian Mohamad Sahrizan berjaya menjaringkan gol di minit-minit akhir bagi mencatatkan kemenangan bagi pasukan Sabah FC. Pix ihsan Sabah FC
Kedudukan terikat 1 – 1 sehingga tamat babak pertama perlawanan sebelum keputusan berubah pada minit akhir separuh masa kedua.
Babak kedua permainan menyaksikan Sabah FC begitu agresif melakukan serangan demi serangan, namun gagal menemui penyudah yang baik sehinggalah pada minit ke-90.
Pemain tengah skuad Sang Badak, Mohd Sahrizan Saidin yang baru dimasukkan menjadi penyelamat Sabah apabila berjaya menewaskan penjaga gol Kelantan pada minit akhir perlawanan sebelum tambahan masa empat minit diberikan pengadil.
Keputusan 2 – 1 itu kekal sehingga habis masa tambahan sekali gus membolehkan Sabah mencatat kemenangan pertama dalam aksi Piala Malaysia 2021 di hadapan kira-kira 5,000 penyokong malam ini.
-Deasoka