Keningau: Tiga rumah jenis tidak kekal terbakar dalam kejadian di Jalan Lingkudau Ring, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, rumah pertama musnah sepenuhnya manakala rumah kedua dan ketiga masing-masing hanya mengalami kerosakan 70 peratus dan 20 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.26 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba berusaha memadam api daripada merebak.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang hampir 100 meter dengan dua pancutan menerusi sumber air dari pili bomba dan tangki jentera.
“Kerja-kerja memadam kebakaran kemudiannya diteruskan dan api berjaya dikawal daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Keadaan api yang marak dalam kebakaran di Jalan Lingkudau Ring, Keningau.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 6.55 petang.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sejurus selepas itu.” katanya.
-Deasoka