Covid-19 Sabah: Majlis kahwin, potong jambul cetus kluster baharu di Ranau

Covid-19 Sabah: Majlis kahwin, potong jambul cetus kluster baharu di Ranau

Kota Kinabalu: Penganjuran majlis perkahwinan dan upacara potong jambul mencetuskan kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan di daerah Ranau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kluster baharu yang diisytiharkan di Kampung Karanaan itu dikesan selepas seorang kakitangan awam dikesan positif Covid-19.

Katanya, kluster berkenaan dikesan menjangkiti seramai 52 orang setakat ini, termasuk kes indeks yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau.

“Penularan virus yang menjangkiti 52 orang penduduk kampung setakat ini dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam satu majlis perkahwinan dan dua upacara potong jambul yang turut dihadiri saudara mara dari luar daerah,” katanya dalam kenyataan media, petang ini.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah ketika ini, aktiviti sosial masih dilarang.

Ia termasuk kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, meraikan pernikahan atau pertunangan, perkahwinan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, hari kelahiran dan ‘reunion’.

Masidi berkata, kluster baharu itu adalah satu peringatan penting perlunya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa.

Katanya, pematuhan SOP penting lebih-lebih lagi Sabah akan beralih ke Fasa 4 PPN mulai esok dengan pelbagai sekatan terhadap majlis sosial dan aktiviti ekonomi akan dilonggarkan.

“Kesannya ialah risiko jangkitan virus di tempat awam dan acara sosial akan semakin tinggi. Rakyat diseru agar tidak lalai mematuhi semua SOP. Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab ‘frontliners’ di bahu rakyat sendiri untuk mengekang penularan virus Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Sabah hari ini mencatat 405 kes baharu Covid-19, berkurang 164 kes berbanding 569 kes semalam, iaitu antara yang terendah sejak beberapa bulan lalu.

“Kecuali daerah Kota Kinabalu yang mencatat 52 kes baharu, jumlah kes harian di semua daerah di Sabah adalah di bawah angka 50.

“Sebanyak 11 daerah mencatat kes baharu kurang daripada 10 kes, manakala tiga daerah iaitu Kunak, Tongod dan Kalabakan tiada jangkitan baharu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|