Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah memandang serius pelbagai isu yang dikaitkan dengan golongan kanak-kanak, khususnya di negeri ini.
Menterinya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata sebagai antara golongan sasar dalam kementerian berkenaan, kebajikan kanak-kanak terus diberikan perhatian melalui kerjasama semua pihak.
Katanya, ia sejajar dengan tanggungjawab bersama semua pihak dalam menjaga kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Dewasa ini banyak isu yang melibatkan kanak-kanak di media sosial seperti menjadi mangsa penderaan, jenayah yang melibatkan kanak-kanak dan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera.
“Kita meminta orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kepada kementerian agar kejadian sebegini dapat kita tangani.
“Kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam segala aspek kehidupan adalah amat penting dan perlu diberi perhatian.
“Setiap lapisan masyarakat perlu peka terhadap keperluan kanak-kanak dan mewujudkan persekitaran yang harmoni serta penyayang,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika merasmikan majlis Sekalung Budi Sejambak Kasih Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Negeri Sabah sesi 2021-2023 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Shahelmey juga berharap agar PPKK dan PKKK dapat terus bergiat aktif dalam membantu kanak-kanak yang memerlukan bantuan dan perlindungan.
“Saya amat berharap agar setiap PPKK dan PKKK dapat menjalankan fungsi dan peranan masing-masing sebagai sebuah komuniti untuk membantu kementerian menggalas tanggungjawab dalam membantu kanak-kanak,” katanya.
PPKK adalah pasukan yang membantu kanak-kanak memerlukan perlindungan segera seperti mangsa rogol dan mangsa penderaan, PKKK pula adalah pasukan yang membantu kanak-kanak bermasalah sosial seperti ketagihan dadah, melakukan jenayah dan lari dari rumah.
Shahelmey berkata kementeriannya amat menghargai keprihatinan masyarakat dalam usaha sama-sama menjaga kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak.
-Deasoka