Nasib penduduk jatuh pokok dapat perhatian

Nasib penduduk jatuh pokok dapat perhatian

Tamparuli: Nasib seorang penduduk Kampung Molisau, di sini, yang mengalami retak tulang belakang akibat terjatuh dari pokok baru-baru ini mendapat perhatian wakil rakyat kawasan ini.

Frederick Julian, 41, yang kini terlantar di rumah akibat terjatuh dari pokok rambutan awal minggu ini, dilawati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, semalam.

Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri singgah di rumah keluarga berkenaan untuk melihat keadaannya selepas dibenarkan pulang dari hospital.

“Kita bersimpati kepada keluarga ini yang hilang tempat bergantung untuk mencari sumber pendapatan kerana kemalangan yang menimpa ketua keluarganya,” katanya.

Jahid turut mengarahkan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk melaporkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Tamparuli untuk tindakan selanjutnya.

Kejadian empat hari lalu itu menyebabkan tulang belakang Frederick mengalami retak dan memerlukan alat penyokong tulang ‘Jewett Brace’.

Selepas dipasang alat pada Jumaat lalu, akhirnya beliau dibenarkan pulang ke rumah.

Kos bagi membiayai pembelian alat berkenaan disumbangkan oleh Jahid sendiri, selepas menerima maklumat daripada ahli keluarga Frederick.

Dalam lawatan sama, Jahid turut menyaksikan penyerahan sumbangan kerusi malas kepada Frederick daripada Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Tamparuli yang diwakili ketuanya, Boe Sindolun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|