Dua maut tiga lagi parah, kereta terbabas rempuh konkrit

Dua maut tiga lagi parah, kereta terbabas rempuh konkrit

Kinabatangan: Dua maut manakala tiga lagi parah selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki terbabas sebelum merempuh konkrit di tepi jalan di Jalan Kampung Segaliud Seberang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, dua mangsa yang meninggal dunia berusia 40 dan 14 tahun manakala tiga lagi yang parah berusia lingkungan 15 hingga 33 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, semua mangsa masih berada di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.

“Dua mangsa perempuan kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala tiga mangsa lelaki mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Manakala katanya, mangsa yang cedera dihantar Ke Hospital Kinabatangan menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 9.22 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|