Sandakan: Seorang remaja lelaki terpaksa menanggung kesakitan selepas cincin yang dipakainya tersekat di jari manis tangan kanannya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent, di sini, semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pihak hospital terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan selepas cincin berkenaan gagal dikeluarkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tiga anggota dan pegawai dikerah ke lokasi untuk membantu mangsa.
“Keadaan jari mangsa sudah mula membengkak dipercayai tiada pengaliran darah dan pasukan bomba terpaksa memotong cincin menggunakan peralatan khas.
“Cincin berkenaan kemudiannya berjaya dipotong dan operasi ditamatkan pada jam 10.40 malam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
-Deasoka