Sang Badak hilang fokus punca bolos 1 gol – Ong Kim Swee

Sang Badak hilang fokus punca bolos 1 gol – Ong Kim Swee

Kota Kinabalu: Gawang Sabah FC akhirnya dibolosi gol lawan selepas pemain di bahagian tengah hilang fokus pada separuh masa kedua aksi pertama suku akhir Piala Malaysia menentang Melaka United FC di Stadium Likas, malam tadi.

Kekalahan 1 – 0 itu berlaku pada minit ke-51 hasil jaringan pemain import Melaka, Sony Norde yang mendapat peluang melakukan cubaan berikutan kegagalan pertahanan Sabah mengawal dengan baik kehadiran pemain berbisa itu.

Keputusan itu sekali gus mengecewakan hasrat Sabah untuk mengekalkan momentum kemenangan yang dilakar dalam dua perlawanan terakhir aksi Kumpulan D sebelum ini.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, mengakui anak buahnya tidak bermain dengan baik terutama sepanjang 20 minit pertama perlawanan, selain hilang fokus ketika pihak lawan melakukan asakan sehingga berjaya menyumbatkan gol.

“Sudah tentu ini bukan keputusan yang baik untuk kita. Sepanjang 20 minit pertama kita tidak bermain dengan baik, pertahanan juga sama.

“Separuh masa kedua pula kita hilang fokus di mana kita membenarkan larian di bahagian penting iaitu bahagian tengah dan kita dibolosi dengan satu gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Beliau bagaimanapun berkata permainan anak buahnya secara keseluruhan memberikan persembahan yang cukup baik terutama dengan kemampuan mereka terus bertahan walaupun berdepan pemain berkualiti dari Melaka.

Berbeza dengan skuad Sang Badak katanya yang lebih ramai dibarisi pemain muda kurang pengalaman, namun membuktikan mampu bermain dengan baik walaupun berdepan pemain lebih hebat termasuk import.

“Secara keseluruhan, saya percaya pemain memberikan persembahan yang cukup baik kerana dapat bertahan sedangkan kita tahu pasukan Melaka mempunyai ramai pemain yang berkualiti terutama pemain import mereka.

“Namun, apa yang positif bagi saya adalah pemain muda yang kita turunkan seperti Gerald Gadit, Hanafie Tokyo dan Mohd Sahrizan Saidin, mereka membuktikan boleh bersaing dengan pemain yang cukup berkualiti namun kita tidak mendapat keputusan yang dikehendaki,” katanya.

Berikutan keputusan malam tadi, Kim Swee berkata pasukannya perlu mendapatkan gol dan mencipta kemenangan pada perlawanan timbal balik di Melaka, Khamis ini.

Jelasnya, usaha Sang Badak belum berakhir kerana apa saja boleh berlaku jika ada percaturan yang betul, malah ia mampu mengejutkan Melaka United di Melaka nanti.

“Perancangan utama adalah untuk mendapatkan gol kerana tanpa gol kita akan terkeluar. Apabila kita mendapat gol, saya percaya ini akan memberi tekanan kepada Melaka.

“Namun, kita juga perlu berhati-hati kerana Melaka juga pasti akan mengubah corak permainan. Pada masa sama kita tidak boleh terburu-buru, tujuan utama kita adalah mendapatkan gol apabila di Melaka nanti,” katanya.

Jika gagal, katanya hasrat Sabah untuk ke peringkat perlawanan Piala Malaysia 2021 yang seterusnya akan berkubur.

Skuad Sang Badak berlepas awal ke Kuala Lumpur hari ini untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana sebagai persediaan bertemu Melaka nanti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|