15 peserta ratu cantik bersaing

15 peserta ratu cantik bersaing

Kota Kinabalu: Seramai 15 peserta yang terpilih ke peringkat akhir pencarian ‘Momogun Model Of The Year (MMOTY) 2021 bakal berentap dalam pertandingan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), 12 Disember depan.

Pengerusi penganjur acara berkenaan, Vanessa Kimberly Edgar Del Mundo berkata, acara berkenaan akan diadakan dalam acara gilang- gemilang selama dua hari.

Katanya, pertandingan berkenaan diadakan bukan saja memberi peluang kepada model tempatan tetapi juga kepada jurumekap dan pereka fesyen untuk mempamerkan bakat masing-masing.

“Pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai sebanyak RM5,000, mahkota, selempang, trofi dan sejambak bunga.

“Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM1,000 dan mahkota, selempang, trofi dan sejambak bunga,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Vanessa berkata, selain gelaran utama, peserta juga akan merebut gelaran sampingan iaitu Miss Best Catwalk, Miss Natural Beauty, Pakaian Terbaik, Miss Popular facebook, Miss Congeniality, Miss Photogenic dan Miss Friendly.

Sementara itu, Vanessa berkata, peserta yang memenangi gelaran utama pertandingan ini akan dilantik sebagai duta pelancongan Taman-Taman Sabah dan berperanan untuk mempromosikan negeri Sabah.

“Begitu juga dengan tempat kedua dan ketiga yang bakal dilantik menjadi duta Sri Pelancongan Sabah dan duta Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

“Tiga pemenang utama pertandingan ini akan mewakili Sabah dan Malaysia dalam acara pelancongan antarabangsa untuk 2021 dan 2022 sebagai salah satu usaha mempromosikan pelancongan di negeri Sabah.

Menurutnya, mereka akan mewakili Sabah dalam acara pelancongan antarabangsa yang bakal diadakan di Dubai bulan depan selain Expo Pelancongan di Jerman pada Mac 2022.

“Selain itu, pemenang ini juga akan berpeluang menyertai acara promosi pelancongan ‘World Travel Market’ di London, November 2022,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|