Lelaki warga asing menyamun ditahan

Lelaki warga asing menyamun ditahan

Ranau: Seorang lelaki warga asing tidak sempat menikmati hasil samun, apabila ditahan sejurus melakukan jenayah itu di sebuah kedai runcit di Kampung Nalapak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, suspek berusia 28 tahun itu dikatakan masuk ke kedai runcit berkenaan sebelum mengugut seorang wanita yang juga pemilik menggunakan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, suspek mengarahkan mangsa supaya tidak membuat bising dan menyerahkan wang tunai.

Katanya, mangsa yang ketakutan terus menyerahkan wang sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian.

“Mangsa kemudiannya meminta bantuan penduduk kampung untuk mengejar suspek.

“Beberapa penduduk kemudiannya mengejar dan terus berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Simiun berkata, penduduk kampung juga merampas semula wang tunai yang dilarikan oleh suspek terbabit.

Katanya, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Balai Polis Ranau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun,” katanya.

Sehubungan itu, Simiun menasihat orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan berhubung kes berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|