Dua lelaki edar dadah ditahan

Dua lelaki edar dadah ditahan

Papar: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar berjaya menahan dua lelaki selepas didapati terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah, semalam.

Semua individu berusia 40-an itu ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di kawasan Papar, di sini.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, hasil siasatan awal, pihaknya berjaya mengesan kegiatan kedua-dua suspek yang terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, ketika ditahan, polis turut berjaya merampas beberapa paket plastik berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 50.08 gram

“Semua suspek terus ditahan dan dibawa balik ke IPD Papar untuk tindakan selanjutnya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Batholomew berkata, kejayaan tangkapan ini adalah usaha polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah Papar.

Katanya, ia juga sebagai salah satu langkah terbaik dalam mencegah sebarang aktiviti jenayah di daerah Papar.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah dan jenayah di daerah ini kepada pihak polis atau IPD Papar khususnya untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|