Usaha memburu 7 tahanan DTI masih diteruskan

Usaha memburu 7 tahanan DTI masih diteruskan

Papar: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar melancarkan operasi memburu tujuh tahanan lelaki yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Papar, di sini, awal pagi hari ini.

Semua tahanan terbabit dikatakan melarikan diri pada jam 3.30 pagi dengan merosakkan bumbung tandas pusat tahanan berkenaan sebelum memotong pagar pusat tahanan berkenaan.

Mengikut laporan awal, seramai 14 tahanan dilaporkan melarikan diri, bagaimanapun sehingga jam 10.30 pagi tadi, tujuh daripada 14 tahanan ditahan semula.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, gerakan operasi mengesan semua tahanan yang melarikan diri sudah dilancarkan sejak awal lagi tadi.

Katanya, operasi turut dibantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan K9 dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati semua tahanan yang melarikan diri berusia 22 hingga 43 tahun itu tinggal di blok tengah dan memanjat bumbung setinggi hampir dua meter.

“Mereka kemudian memotong pagar sebelum bertindak melarikan diri,” katanya dalam sidang media di IPD Papar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun tujuh daripada 14 tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan semula di sekitar kawasan DTI berkenaan.

“Sehubungan itu, kita memohon orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat untuk menangkap baki suspek yang melarikan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta supaya berhubung dengan bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|