Akuan Bersumpah tak dapat halang lompat parti

Akuan Bersumpah tak dapat halang lompat parti

Kota Kinabalu: Akuan bersumpah (SD) yang dibuat wakil rakyat sebagai tanda taat setia kepada parti yang diwakili ketika pilihan raya tidak berkesan dalam usaha untuk menghalang tindakan melompat parti.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata dokumen itu tidak mempunyai makna selagi undang-undang anti lompat parti tidak digubal.

Mengulas penggunaan dokumen itu yang turut dipraktikkan beberapa parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau berkata penggunaan SD tidak berupaya melucutkan kerusi seseorang wakil rakyat jika meninggalkan parti.

“SD itu tiada makna sebenarnya kerana selagi tiada perundangan yang menyatakan lompat parti adalah suatu kesalahan, ia tiada kuasa untuk melucutkan (kerusi) seseorang wakil rakyat,” katanya, di sini.

Beberapa parti termasuk Barisan Nasional (BN) meminta calon mereka pada PRN Melaka menandatangani SD sebagai akujanji supaya tidak meninggalkan parti selepas memenangi kerusi.

Kuok Tiung yang juga penganalisis politik Sabah mengulas penggunaan dokumen itu dengan membandingkan situasi di Sabah membabitkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang meninggalkan parti sejak awal tahun ini.

“Bukan saja WARISAN di Sabah tetapi di Semenanjung juga menyaksikan wakil rakyat UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum ini,” katanya.

Februari lalu, ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir mengumumkan meninggalkan WARISAN untuk menjadi wakil rakyat Bebas sebelum membuat keputusan menyertai BERSATU.

Beliau kemudian disusuli ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang mengumumkan keluar WARISAN untuk menjadk ADUN Bebas mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 8 Oktober lalu.

Pada 30 Oktober lalu pula, seorang lagi pemimpin WARISAN iaitu ADUN Segama yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi turut mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas yang juga mesra GRS.

Sebelum PRN Sabah pada September tahun lalu, mereka menandatangani SD dan surat peletakan jawatan sebagai ADUN yang akan diserahkan peguam WARISAN kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai asas pengosongan kerusi jika keluar parti.

Bagaimanapun, semua tindakan itu tidak memberi kesan selepas masing-masing memberikan akuan bersumpah kepada Speaker DUN mengatakan mereka menarik balik semua sumpah dan akujanji yang dibuat sebelum PRN tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|